Monday, August 19, 2013

PILIH BIDANG PENGAJIAN SECARA REALISTIK


Sebaik tamat zaman persekolahan dan menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai pelajar seakan masih terpinga-pinga dan tidak pasti ke mana hala tuju hidup mereka atau apa bidang yang bersesuaian, sama ada kena dengan jiwa atau mengikut keputusan peperiksaan. Ada yang tetap memilih memohon bidang yang diminati bagi menjawat kerjaya yang diimpikan selama ini wlaupun keputusan diperoleh meletakkan mereka dalam risiko untuk tidak terpilih mengikuti program berkenaan.

Ada pula sanggup menolak tawaran masuk ke program pengajian yang dilayangkan kepada mereka semata-mata kerana tidak kena dengan jiwa mereka walaupun sesuai dengan keputusan SPM yang dicatatkan. Segelintir pelajar juga menerima tawaran daripada institusi pengajian tinggi (IPT) melanjutkan pengajian dalam bidang yang lebih berat berbanding keputusan cukup makan yang diperoleh, menyebabkan mereka terbeban dan kemungkinan tercicir ketika mengikuti program berkenaan.


 

Sepatutnya pelajar perlu bersikap realistik, membuat pertimbangan daripada pelbagai sudut dan melihat daripada gambaran lebih besar demi kejayaan hidup mereka sebaik tamat pengajian. Pelajar perlu sedar wujudnya persaingan dalam pemilihan sesuatu bidang pengajian selain mengkaji keperluan pasaran kerjaya dan industri yang membuka peluang luas kepada mereka untuk berjaya dalam hidup.

Setiap pelajar perlu mempunyai beberapa pilihan bidang yang realistik dan sesuai dengan keputusan bagi memudahkan perjalanan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, menggenggam diploma atau ijazah seterusnya melangkah ke alam pekerjaan dengan yakin. Pelajar tidak seharusnya menutup peluang mereka sendiri untuk maju hanya kerana mahukan satu-satu bidang saja tanpa memberi peluang kepada diri sendiri untuk maju dalam lapangan baru.


 

Selain daripada bidang akademik, graduan dalam bidang kemahiran juga menjadi rebutan majikan tempatan serta syarikat multinasional yang bertapak di negara kita. Tawaran dalam pelbagai bidang baru seiring dengan percambahan kerjaya terkini di negara ini membuka peluang cerah kepada pelajar untuk mendapatkan pekerjaan sebaik tamat pengajian. Pemilihan bidang yang penting dengan keputusan peperiksaan terutama yang bersifat akademik sangat penting kerana sekiranya tersilap langkah, ia boleh melambatkan seseorang itu untuk maju dalam hidup, malah ada kalanya boleh memusnahkan masa depan.

Bagi mereka yang masih kebingungan untuk memilih bidang yang sesuai, perbincangan bersama individu lebih berpengalaman termasuk guru dan ibubapa dapat membantu. Mereka juga disaran membuat lebih banyak kajian mengenai bidang yang memberi peluang kerjaya luas di negara ini degan berkunjung ke Karnivsl Jom Masuk U, pameran pendidikan serta melayari laman web IPT untuk membuat pilihan yang ada bersesuaian dengan keputusan SPM.